Ramai beranggapan mereka yang menghidap autisme adalah genius,
hakikatnya ia adalah kes-kes terpencil.
KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita mendapati
sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri.
Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak lain.
Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk. Mereka juga mempunyai
masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu mereka sudah
boleh bercakap.
Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya
kepada si penutur.
Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini jangan
mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini menghidap autisme.
Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada
anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan suka
menyusun mainannya.
Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan tidak
menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak lain.
Ada ketikanya, mereka ini sangat hiperaktif dan cenderung bermain
dengan benda yang tidak dianggap barang mainan seperti barang-barang di dapur
dan sebagainya.
Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom autisme ini
sepatutnya diperhatikan. Adakalanya tanpa rawatan awal, sindrom ini akan dibawa
sehingga dewasa yang menyebabkan tindakan yang diambil pada waktu itu mungkin
sudah terlambat.
Inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila
kanak-kanak ini membesar. Sehingga kini, punca autisme masih samar-samar.
Bagaimanapun, autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Walaupun belum
ada penawar, tetapi pengetahuan ibu bapa mampu memberikan mereka harapan.
Mereka patut didedahkan dengan spesifikasi keupayaan tertentu.
Secara umumnya, autisme wujud dalam semua budaya. Di Malaysia, pada
tahun 2000 dianggarkan terdapat 47,000 rakyat Malaysia yang menghidap austisme.
Di United Kingdom, dianggarkan setengah juta orang mengalami autisme.
Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai anak-anak
autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan.
Keupayaan intelektual
Asalkan anak-anak ini ada keupayaan intelektual, mereka boleh menjadi
manusia yang berjaya. Keupayaan mereka sangat spesifik, selalunya dalam bidang
sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar
kanak-kanak ini dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku
dan keupayaan mereka.
Kalau mereka dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal, ia akan
menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti
anak-anak lain.
Selalu terjadi, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat bahawa
anak mereka sebenarnya menghidap autisme. Kesannya, mereka terus menghantar
anak-anak ini ke sekolah biasa. Hasilnya, ia hanya merosakkan masa depan
mereka.
Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang
lain.
Dalam mata pelajaran Matematik, kajian menunjukkan keupayaan mereka
umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom
autisme sederhana, mereka berupaya menguasai matematik. Bagaimanapun, mereka
sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga sukar dalam hal temu duga.
Bagaimanapun, ada kes-kes terpencil. Kumpulan ini dikenali sebagai
mathematic gifted. Ia seperti watak Raymond yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman
dalam filem Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang.
Ia sebenarnya adalah salah tanggapan yang sering berlaku dalam
masyarakat. Orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah manusia
yang genius. Harus diingat, ia hanya kes terpencil.
Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini kalau
tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak
mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam dunianya sendiri, gagal
berkomunikasi dan mempunyai tingkah laku di luar kelakuan normal kanak-kanak,
adalah lebih baik mereka dibawa berjumpa pakar.
Jangan anggap ia hal normal atau cuba menolak hakikat bahawa anak-anak
kita sedang dilanda masalah.
Boleh dirawat
Walaupun tidak ada ubat khusus, sebenarnya autisme boleh dirawat dengan
pendidikan dan terapi khas. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal dan ia
dilakukan ketika mereka masih di peringkat kanak-anak.
Sebenarnya, tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autisme, tetapi yang
salahnya ialah apabila kita melihat semua perkara sebagai normal kerana
kononnya hanya anak orang lain menghidap autisme dan bukan anak kita.
Jangan anggap kerana tidak ada keturunan yang mengalami autisme atau
kerana kita mempunyai pendidikan yang baik, kita tidak mungkin mempunyai anak
autisme.
Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang
lain. Tidak ada siapa yang tahu puncanya. Sekiranya kita diuji dengan anak-anak
autisme, maka menjadi tugas kita untuk memastikan masa depan mereka terus
terbela.
No comments:
Post a Comment