Seorang doktor sedang melihat filem
sinar-X pesakit Tibi. - Gambar hiasan
PENYAKIT batuk kering atau Tuberkulosis
(Tibi) kembali lagi menyerang. Sesiapa sahaja jangan mengambil mudah kerana
Tibi yang dikategorikan sebagai penyakit berjangkit cukup mudah merebak melalui
batuk, bersin, ketawa ataupun menyanyi.
Orang dewasa juga lebih mudah
menyebarkan Tibi berbanding kanak-kanak maka oleh itu tutuplah mulut apabila
batuk.
Kenyataannya penyakit Tibi pada suatu
ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini
(ketika itu Tanah Melayu - Malaya) di antara tahun 1945 hingga 1957.
Berikutan itu program Kawalan Tibi
Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 1961 di mana kesemua pesakit dirujuk kepada
Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang kini dikenali Institut
Perubatan Respiratori (IPR).
Program ini telah berjaya mengurangkan
kes tibi pada tahap yang dianggap terkawal sehingga negara ini telah
dikategorikan beban penyakit tibi sederhana.
Bagaimanapun, sejak tahun 1994 kes-kes
baru tibi meningkat dari setahun ke setahun di mana pada tahun 2010 sahaja angkanya
mencecah 19,337 berbanding tahun 2009 cuma 18,102 kes.
''Angka ini jelas menunjukkan Tibi
kembali lagi ke Malaysia di mana semua rakyat perlu peka supaya tidak menjadi
salah seorang mangsanya,'' kata Pakar Perunding Penyakit Tibi IPR, Dr. Ashari
Yunus yang ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, Tibi berkembang
semula di negara ini memandangkan jumlah pembawa kuman HIV, diabetes, kanser
dan buah pinggang semakin meningkat.
Begitu juga dengan golongan orang tua,
pesakit yang mengambil steroid dalam tempoh yang lama, penagih alkohol secara
berlebihan dan juga penagih dadah.
''Golongan ini adalah yang berisiko
tinggi terhadap Tibi kerana sistem imunisasi badan yang lemah akan mengaktifkan
kuman Tibi yang sedia ada di dalam badan manusia,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Ashari, pendatang
asing cuma menjadi penyumbang kecil sahaja dalam penularan Tibi di negara ini.
Tambahnya, suntikan pelalian BCG untuk
kanak-kanak di negara ini cuma dapat melindungi badan mereka dari penyakit ini
sehingga usia 14 tahun sahaja.
Dr. Ashari memberitahu, Tibi memang
dikenali penyakit pembawa maut tetapi sesiapa pun tidak perlu bimbang kerana
ada ubat penyembuhnya.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung
kepada individu untuk segera ke hospital jika mendapati telah dijangkiti dengan
kuman Tibi iaitu tubercle bacilli.
''Kuman ini hanya merebak melalui udara
dan biasanya akan menjangkiti paru-paru serta organ yang lain seperti selaput
otak, tulang, buah pinggang dan kulit,'' kata Dr. Ashari.
Jelasnya, seseorang itu hanya boleh
disahkan menghidap Tibi melalui pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan
x-ray.
Sehubungan itu, katanya, jika mempunyai
tanda-tanda batuk berpanjangan lebih dua minggu, batuk berdarah, demam dan
berpeluh waktu petang atau malam, maka segeralah ke hospital.
Simptom lain termasuk hilang selera
makan atau turun berat badan mendadak, sakit dada semasa batuk atau bernafas
secara dalam, mudah letih dan lemah.
Katanya, tidak cukup dengan itu pesakit
harus memastikan menerima rawatan mengikut arahan doktor dan memakan ubat yang
dinasihatkan selama enam bulan.
''Pesakit ini juga harus memastikan
setiap kali bersin menggunakan sapu tangan bagi mengelak kuman ini terbang di
udara dan merebak kepada orang lain pula,'' katanya.
Apa yang dikesalkan, kata Dr. Asraf,
apabila ada kes pesakit yang 'melarikan' diri sebaik sahaja mendapati dirinya
telah pulih selepas menerima rawatan pada peringkat awal.
Beliau berkata, sekalipun pesakit
merasakan dirinya pulih tetapi selagi tidak lengkap mengambil ubat dalam tempoh
enam bulan maka itu tidak bermakna dia bebas sepenuhnya daripada Tibi.
''Ini kerana prinsip DOTS (Pengawasan
Rawatan Jangka Pendek Secara Terus) yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) untuk merawat pesakit Tibi harus diikuti,'' katanya.
Katanya, pesakit perlu mengambil ubat
yang ditetapkan selama enam bulan.
"Dua bulan pertama pesakit perlu
setiap hari ke hospital kerana perlu makan ubat setiap hari dos yang ditetapkan
dengan pemantauan pihak hospital,'' kata Dr. Ashari.
Malah katanya, empat bulan lagi pesakit
perlu dirawat setiap dua minggu dan memakan ubat yang disyorkan setiap hari
sehingga cukup tempoh selama enam bulan.
''Masalah sekarang ini, seseorang itu
sudah tahu dirinya mempunyai tanda-tanda ini tetapi masih melewatkan
pemeriksaan untuk menerima rawatan,'' kata beliau.
Katanya, disebabkan penyakit ini
dikategorikan berjangkit maka ia akan cepat merebak kepada orang-orang di
sekitarnya dengan lebih cepat.
Selain itu, katanya ada yang baru dua
bulan menjalani rawatan tetapi selepas itu tidak lagi mengambil ubat yang
disyorkan di mana akan mendapat kembali penyakit tersebut.
''Pesakit akan bebas sepenuhnya daripada
Tibi setelah lengkap mengambil ubat dalam tempoh selama enam bulan,'' kata Dr.
Ashari.
No comments:
Post a Comment