Golongan remaja sewajarnya berusaha untuk belajar menjadi seorang yang
bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Ungkapan ini bukan
ingin menuduh golongan remaja tidak bertanggungjawab ketika di dunia siber dan
tidak juga mengiakan mereka ini lebih beretika lagi ketika di alam nyata
kehidupan seharian mereka berbanding di alam siber.
Ini memandangkan kurangnya kajian secara empirikal dan mendalam
berhubung salah laku moral remaja ketika di internet dan kaitannya dengan
kegiatan mereka ketika di luar alam siber. Malah, penulisan ini sebenarnya cuba
melihat perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering
kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan
kehidupan realiti mereka.
Namun apa yang pasti, kegiatan tidak beretika di alam siber sudah tentu
akan mengundang golongan ini untuk terjebak dengan pelbagai gejala salah laku
moral, sama ada di dunia siber, atau di alam nyata.
Perspektif masyarakat menilai golongan remaja sebagai kumpulan berisiko
tinggi terbabit dengan pelbagai bentuk gejala salah laku sosial dan moral
seperti suka bergaduh, gangsterisme, berlumba haram, merokok, melepak, ponteng
kelas dan pembuli. Ada segelintir mereka terbabit dengan kegiatan jenayah berat
seperti kes bunuh dan rompakan bersenjata.
Timbul persoalan mengapa golongan remaja sering dikaitkan dengan
pelbagai bentuk gejala salah laku seperti ini. Jawapan yang sering diajukan
kepada umum pula ialah peringkat kehidupan remaja adalah satu fasa peralihan
daripada zaman kanak-kanak yang tidak matang kepada satu kehidupan alam dewasa
yang lebih bebas dan berkuasa.
Mereka berada di tengah-tengah antara dua kelompok generasi masyarakat
ini. Maka perilaku dan pemikiran mereka belum mantap. Ada ketika berkelakuan seperti
kanak-kanak dan pada ketika yang lain sering memberontak bagi mendapatkan
kedudukan istimewa sebagai individu dewasa yang lebih bebas, tiada kongkongan.
Pertembungan antara dua generasi dalam satu jiwa ini menjadikan mereka
sering kurang stabil dari segi emosi dan pemikiran, kerap memberontak dan tidak
sehaluan dengan generasi yang berbeza identiti dari mereka. Pada peringkat ini,
remaja akan sentiasa mencari arah haluan bagi membentuk siapakah identiti diri
mereka yang sebenarnya.
Pencarian ini akan berakhir apabila model identiti yang lebih sesuai
dengan fitrah mereka ditemui, lantas dimantapkan dengan beberapa ciri tertentu
yang menjadikan mereka sebagai insan unik. Pada peringkat perkembangan kritikal
seperti ini, golongan dewasa dan ibu bapa perlu menyedari hakikat bahawa
tanggungjawab mereka adalah untuk membantu membina golongan remaja membentuk
personaliti dan sahsiah di dalam lingkungan peradaban murni.
Malah, remaja itu sendiri sewajarnya turut membantu diri mereka dengan
berusaha mendidik dan membentuk diri serta kehidupan mereka agar sejajar dengan
norma murni kerohanian dan kesusilaan. Ini bukannya satu harapan yang terlalu
unggul sifatnya atau terlalu sukar untuk dicapai dan golongan remaja pula tidak
perlu melihat ia sebagai satu kongkongan atau pertembungan di antara naluri
keremajaan mereka.
Pertembungan seperti inilah yang dilihat masyarakat cendekiawan sebagai
titik asas kepada konflik yang menghantui diri remaja. Sesuatu yang tidak wajar
dilupakan, dalam era letusan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ketika
ini, konflik naluri remaja menjadi semakin akrab dan jitu, lebih-lebih lagi
apabila berdepan dengan apa yang diungkapkan sebagai kelahiran 'millennials'
atau 'Generasi Y'.
Mereka yang dilahirkan antara 1980-an sehingga penghujung 2001,
menjadikan internet, terutama laman web berkaitan jaringan sosial seperti
YouTube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya, sebahagian daripada hidup
mereka.
Trend ini sejajar di serata pelosok dunia, termasuk di negara ini.
Pengaruh aktiviti internet seperti ini dalam kehidupan mereka amat besar.
Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga aktiviti internet
adalah berkaitan laman web sosial seperti itu dan ia begitu popular di kalangan
remaja.
Di negara ini, remaja berusia antara 15-19 tahun mewakili peratusan
terbesar pengguna internet, iaitu 17.9 peratus pada 2008, berbanding kumpulan
umur lain. Apa yang amat dikhuatiri ialah kesan penggunaan teknologi ini yang
memburukkan lagi konflik sedia ada dalam jiwa remaja.
Ini kerana dalam peringkat usia sebegini, golongan remaja masih lagi
melalui proses perkembangan dan kematangan intelek, emosi dan sosial. Namun,
ketaksuban ruang dan masa di dunia maya tidak akan membantu mereka menjalani
proses perkembangan ini secara sihat dan teratur.
Bahkan ini akan menjadikan mereka keliru dan tidak mampu menilai apakah
gambaran interaksi sosial yang sebenarnya. Interaksi sosial pada mereka adalah
bersifat maya (virtual), penuh kebebasan, malah sesuatu yang bersifat peribadi
di alam nyata, tetapi di dunia siber, pengertian peribadi berbeza.
Ia boleh diperbahaskan secara meluas, bebas dan tanpa sekatan. Lantaran
itu, pada mereka, inilah interaksi yang sebenarnya. Memandangkan remaja terlalu
individualistik dan 'egosentrik', sikap menghormati hak dan kewujudan orang
lain dalam kehidupan mereka, sebagaimana di dunia siber, tidak wujud sama
sekali di alam nyata.
Interaksi secara bebas tanpa sekatan di alam maya lebih membentuk diri
mereka melihat norma kehidupan alam nyata sebagai sekatan kepada kebebasan yang
mereka idamkan. Ini akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan
personaliti golongan ini.
Maka itu, timbul pelbagai gejala salah laku moral dan etika remaja,
bukan hanya ketika berinteraksi di internet, malah akan terbawa dalam kehidupan
di alam nyata. Di antara contohnya seperti bertutur dalam bahasa yang kasar dan
lucah, penyebaran bahan berbaur fitnah dan lucah.
No comments:
Post a Comment