Saturday, 31 March 2012

Pasukan kompang sudah bersedia





Pasukan kompang KRT Zon3A sudah bersedia menerima tempahan. 
Sesiapa yang berminat untuk mendapat khidmat pasukan kompang ini
boleh menghubungi Pengerusi Biro Media merangkap pengurus 
pasukan kompang iaitu En Abdullah bin Harun. 

Tuesday, 20 March 2012

Internet Pengaruh Sahsiah Remaja


 
Golongan remaja sewajarnya berusaha untuk belajar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Ungkapan ini bukan ingin menuduh golongan remaja tidak bertanggungjawab ketika di dunia siber dan tidak juga mengiakan mereka ini lebih beretika lagi ketika di alam nyata kehidupan seharian mereka berbanding di alam siber.

Ini memandangkan kurangnya kajian secara empirikal dan mendalam berhubung salah laku moral remaja ketika di internet dan kaitannya dengan kegiatan mereka ketika di luar alam siber. Malah, penulisan ini sebenarnya cuba melihat perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan kehidupan realiti mereka.

Namun apa yang pasti, kegiatan tidak beretika di alam siber sudah tentu akan mengundang golongan ini untuk terjebak dengan pelbagai gejala salah laku moral, sama ada di dunia siber, atau di alam nyata.

Perspektif masyarakat menilai golongan remaja sebagai kumpulan berisiko tinggi terbabit dengan pelbagai bentuk gejala salah laku sosial dan moral seperti suka bergaduh, gangsterisme, berlumba haram, merokok, melepak, ponteng kelas dan pembuli. Ada segelintir mereka terbabit dengan kegiatan jenayah berat seperti kes bunuh dan rompakan bersenjata.

Timbul persoalan mengapa golongan remaja sering dikaitkan dengan pelbagai bentuk gejala salah laku seperti ini. Jawapan yang sering diajukan kepada umum pula ialah peringkat kehidupan remaja adalah satu fasa peralihan daripada zaman kanak-kanak yang tidak matang kepada satu kehidupan alam dewasa yang lebih bebas dan berkuasa.

Mereka berada di tengah-tengah antara dua kelompok generasi masyarakat ini. Maka perilaku dan pemikiran mereka belum mantap. Ada ketika berkelakuan seperti kanak-kanak dan pada ketika yang lain sering memberontak bagi mendapatkan kedudukan istimewa sebagai individu dewasa yang lebih bebas, tiada kongkongan.

Pertembungan antara dua generasi dalam satu jiwa ini menjadikan mereka sering kurang stabil dari segi emosi dan pemikiran, kerap memberontak dan tidak sehaluan dengan generasi yang berbeza identiti dari mereka. Pada peringkat ini, remaja akan sentiasa mencari arah haluan bagi membentuk siapakah identiti diri mereka yang sebenarnya.

Pencarian ini akan berakhir apabila model identiti yang lebih sesuai dengan fitrah mereka ditemui, lantas dimantapkan dengan beberapa ciri tertentu yang menjadikan mereka sebagai insan unik. Pada peringkat perkembangan kritikal seperti ini, golongan dewasa dan ibu bapa perlu menyedari hakikat bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk membantu membina golongan remaja membentuk personaliti dan sahsiah di dalam lingkungan peradaban murni.

 
Malah, remaja itu sendiri sewajarnya turut membantu diri mereka dengan berusaha mendidik dan membentuk diri serta kehidupan mereka agar sejajar dengan norma murni kerohanian dan kesusilaan. Ini bukannya satu harapan yang terlalu unggul sifatnya atau terlalu sukar untuk dicapai dan golongan remaja pula tidak perlu melihat ia sebagai satu kongkongan atau pertembungan di antara naluri keremajaan mereka.

Pertembungan seperti inilah yang dilihat masyarakat cendekiawan sebagai titik asas kepada konflik yang menghantui diri remaja. Sesuatu yang tidak wajar dilupakan, dalam era letusan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ketika ini, konflik naluri remaja menjadi semakin akrab dan jitu, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan apa yang diungkapkan sebagai kelahiran 'millennials' atau 'Generasi Y'.

Mereka yang dilahirkan antara 1980-an sehingga penghujung 2001, menjadikan internet, terutama laman web berkaitan jaringan sosial seperti YouTube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya, sebahagian daripada hidup mereka.

Trend ini sejajar di serata pelosok dunia, termasuk di negara ini. Pengaruh aktiviti internet seperti ini dalam kehidupan mereka amat besar. Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga aktiviti internet adalah berkaitan laman web sosial seperti itu dan ia begitu popular di kalangan remaja.

Di negara ini, remaja berusia antara 15-19 tahun mewakili peratusan terbesar pengguna internet, iaitu 17.9 peratus pada 2008, berbanding kumpulan umur lain. Apa yang amat dikhuatiri ialah kesan penggunaan teknologi ini yang memburukkan lagi konflik sedia ada dalam jiwa remaja.

Ini kerana dalam peringkat usia sebegini, golongan remaja masih lagi melalui proses perkembangan dan kematangan intelek, emosi dan sosial. Namun, ketaksuban ruang dan masa di dunia maya tidak akan membantu mereka menjalani proses perkembangan ini secara sihat dan teratur.

Bahkan ini akan menjadikan mereka keliru dan tidak mampu menilai apakah gambaran interaksi sosial yang sebenarnya. Interaksi sosial pada mereka adalah bersifat maya (virtual), penuh kebebasan, malah sesuatu yang bersifat peribadi di alam nyata, tetapi di dunia siber, pengertian peribadi berbeza.

Ia boleh diperbahaskan secara meluas, bebas dan tanpa sekatan. Lantaran itu, pada mereka, inilah interaksi yang sebenarnya. Memandangkan remaja terlalu individualistik dan 'egosentrik', sikap menghormati hak dan kewujudan orang lain dalam kehidupan mereka, sebagaimana di dunia siber, tidak wujud sama sekali di alam nyata.

Interaksi secara bebas tanpa sekatan di alam maya lebih membentuk diri mereka melihat norma kehidupan alam nyata sebagai sekatan kepada kebebasan yang mereka idamkan. Ini akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan personaliti golongan ini.

 
Maka itu, timbul pelbagai gejala salah laku moral dan etika remaja, bukan hanya ketika berinteraksi di internet, malah akan terbawa dalam kehidupan di alam nyata. Di antara contohnya seperti bertutur dalam bahasa yang kasar dan lucah, penyebaran bahan berbaur fitnah dan lucah.

Saturday, 17 March 2012

Sesak nafas kronik bahana rokok


 
Keadaan paru-paru yang rosak akibat COPD.

DAHULU rokok sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Setiap pagi sebelum menjamah makanan lain, rokok perlu diberi keutamaan,'' ujar Lau Swe Teng.

Bagaimanapun keadaan itu sudah berubah, sebaliknya rokok kini menjadi musuh utamanya apabila baru-baru ini dia diserang sesak nafas teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama 10 hari.

Lebih parah doktor mengesahkan Swe Teng menghidap penyakit sekatan pulmonori kronik (COPD) yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Peristiwa itu betul-betul mengubah kehidupan lalu DIA meninggalkan 'buah hatinya' yang mula 'dikenali' ketika usianya baru mencecah 12 tahun.

Dia bermula dengan menghisap rokok daun sebelum lama-kelamaan beralih kepada rokok biasa.

"Biarpun usia masih muda, tetapi waktu itu saya mampu menghabiskan lima batang rokok setiap hari,'' ujarnya lagi yang kini berusia 66 tahun.

Ketagihan rokok bagai tidak ada kesudahan sehingga dia menghabiskan tiga hingga empat kotak rokok sehari.

"Rokok adalah kekasih saya, cinta saya terhadap dia melebihi daripada isteri dan anak-anak saya sendiri,'' ujar perokok tegar itu.

Bagaimanapun kini Swe Teng mengakui dia menyesal dengan tabiat buruk tersebut yang kini telah merosakkan paru-parunya.

"Sudah banyak wang dihabiskan untuk berubat. Malah semua wang simpanan saya habis dilaburkan untuk berubat,'' ujarnya penuh kesal.

Kini dia bukan sahaja tidak dapat melakukan kerja-kerja berat kerana sering mengalami sesak nafas tetapi menjadikan dirinya cepat letih.

Keadaan itu membuatkan dia nekad meninggalkan tabiat buruk dan memulakan kehidupan baru.

Malah, dia turut melakukan senaman pada setiap hari selain menitikberat soal pemakanan.

"Hari pertama tidak merokok ia amat sengsara. Tetapi mengenangkan penyakit yang saya tanggung memberikan semangat untuk meneruskan usaha itu,'' ujarnya yang mengambil ubat-ubatan selain menggunakan gas untuk mengurangkan masalah COPD.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia, Prof. Dr. Roslina Manap memberitahu, biarpun COPD dianggap penyakit biasa dan jarang didiagnos, tetapi hakikatnya pesakit mengalami penderitaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan, seterusnya terdedah kepada risiko maut.

Realitinya, COPD adalah penyakit yang kebanyakannya dialami penghisap rokok tegar di seluruh dunia dengan nisbah dua daripada lima perokok akan menderita penyakit itu.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO), pembunuh senyap itu mengorbankan hampir tiga juta nyawa setiap tahun selain 210 juta orang lagi hidup sengsara dibelenggu COPD.

WHO turut menjangkakan jumlah kematian disebabkan penyakit itu akan meningkat lebih daripada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang kecuali tindakan segera diambil untuk mengurangkan faktor penyakit itu.

Ia dijangka sebagai penyebab utama kepada kematian dan ketidakupayaan akibat masalah penyakit pernafasan menjelang tahun 2020.

Terang Roslina lagi, penyebab utama kepada COPD ialah rokok. Malah lebih 90 peratus daripada penderita penyakit itu ialah perokok atau bekas perokok.

"COPD ialah sejenis penyakit kronik kerana ia kekal untuk tempoh yang sangat lama dengan pelbagai simptom yang kerap. Ia juga dianggap menyekat, kerana ia memberi kesan kepada aliran udara yang melalui paru-paru.

"Sekatan ini menyebabkan pesakit menderita kerana gangguan pernafasan termasuklah ketika melakukan kerja harian yang mudah," ujarnya.

Punca lain COPD termasuklah persekitaran seperti pencemaran udara atau asap kimia dan juga faktor genetik.

Tegas Roslina, merokok adalah satu daripada risiko umum COPD. Tabiat tidak sihat itu menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan.

"Ia menambahkan pengeluaran mukus yang menyebabkan halangan kronik pada saluran pernafasan," jelasnya.

Lebih menggerunkan, daripada lima orang merokok, dua daripada mereka berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit itu.

Bagaimanapun, tegas beliau, jika tidak dirawat, COPD boleh membawa kepada sesak nafas yang teruk ketika melakukan aktiviti seharian.

Katanya, kebiasaannya penyakit tersebut akan menyerang perokok tegar yang berusia 40 tahun ke atas.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Tuesday, 13 March 2012

Mensyukuri segala nikmat Allah


Awan tak selalunya cerah, laut bukannya selalu tenang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Skrip hidup kita kadang-kadang tidak seperti yang kita harapkan.

Kita sering kali ditimpa rasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas daripada genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima.
Akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan. Hidup ini ibarat sebuah belantara tempat kita mengejar segala keinginan.

Sememangnya manusia diciptakan Allah mempunyai kehendak dan keinginan. Namun tidak semua yang kita inginkan akan tercapai.

Setiap apa yang kita idamkan juga kadang-kadang tidak mampu menjadi kenyataan.

Bukan perkara mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi.

Ramai orang yang tidak sedar hidup ini sebenarnya tidak semestinya berjaya atau bahagia.

Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa apa yang mereka miliki itu semuanya pemberian Allah yang Maha Pemurah. Kejayaan itu menyebabkan seseorang menjadi sombong dan bertindak mengikut hawa nafsu.

Begitu juga kegagalan, kita dihadapinya dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari pada kegagalan itu ialah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, Allah pasti tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan kita miliki.

Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah dan malapetaka.
Tetapi mereka tetap bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan terhadap dirinya. Oleh itu, apabila seorang mukmin berasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati.

Apa saja musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya seperti sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin, Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin selalu mengingati Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun membaca al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.

Rasulullah turut bersabda yang bermaksud: “Ingat akan Allah adalah penawar kalbu.” (Diriwayatkan Ad-Dailami oleh Anas). Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah: “Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui. (Surah Al-Baqarah ayat 216).

Maka janganlah hanyut dalam duka nestapa berpanjangan terhadap apa yang terlepas daripada genggaman atau dakapan. Lihatlah di sekeliling kita, cerminlah diri sendiri andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal.

Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik untuk kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya dan lebih daripada itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah, apa yang diharapkannya esok hari tidak akan menjadi nyata. Malah apa yang terjadi adalah sebaliknya, maka kita mesti ikhlas menerima semuanya dengan senyuman dan reda.

Kehidupan ini hanya untuk-Nya. Dialah tujuan hidup dan sebaik-baik tujuan hidup! Yang lain pula hanya wasilah, alat, bekal atau modal untuk mencapai keredaan Allah.

Maka janganlah tangisi apa yang bukan milikmu kerana ia memang bukan milikmu! Kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya.