Friday, 3 February 2012

SKIM RONDA SUKARELA


Mesyuarat SRS kali ke-1 (2012)




Detektif malam wira SRS

Mereka digelar 'peronda prihatin' dan ada pulayang menggelarkan kumpulan ini sebagai 'detektif malam'. Apa tidaknya kumpulan ini akan bergerak dari satu rumah ke rumah yang lain tanpa dapat dihidu penjenayah dengan membawa lampu suluh, belantan dan lampu keselamatan serta alat komunikasi.

Semua itu dibuat untuk menjamin keselamatan komuniti yang mereka wakili daripada sebarang unsur jenayah, maksiat dan sebagainya. Kumpulan ini merupakan 'wira' yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) secara bergilir-gilir demi kesejahteraan penduduk setempat.

Wartawan Utusan Malaysia yang menyertai rondaan malam mereka di kawasan Taman Tuanku Ja'afar Fasa 3 Zon A di sini melihat bagaimana sikap dan ketegasan mereka ketika menjalankan tugas serta paling utama, mereka sensitif dengan sebarang cubaan melakukan jenayah.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Norazman Alias berkata, SRS telah dilaksanakan sejak Januari lalu dan ia merupakan program komuniti yang dipersetujui oleh penduduk kawasan bagi menjamin keselamatan sekitar. ''Saya yakin, melalui penyelarasan SRS, ia merupakan langkah pencegahan yang baik dalam menangani gejala sosial dan jenayah di kawasan ini selain berupaya mempertingkatkan semangat kekeluargaan, kesepakatan serta perpaduan di kalangan penduduk sekitar.

''Objektif utama penubuhan SRS adalah memantau kawasan perumahan daripada berlakunya jenayah kecurian, ragut, pecah rumah dan banyak lagi. ''Ini juga termasuk gejala sosial sepeti lumba haram dan maksiat," katanya ketika ditemui di Pusat KRT taman itu, baru-baru ini.
Tambah Norazman, SRS KRT bagi taman itu mempunyai seramai 87 orang anggota sukarelawan berdaftar yang terdiri daripada penduduk setempat.

''Mereka terlibat dalam menjalankan rondaan secara bergilir-gilir berpandukan jadual ditetapkan.''Rondaan akan dilakukan sekali dalam tempoh seminggu mengikut persetujuan bersama dan ini melibatkan 12 anggota bagi setiap rondaan yang dibahagikan mengikut syif," ujarnya. Katanya, rondaan meliputi kawasan persekitaran bagi 320 buah rumah yang didiami oleh 1,500 penduduk serta terdiri daripada pelbagai bangsa.

Jelasnya lagi, hari rondaan tidak ditetapkan kerana tidak mahu SRS dianggap sebagai rutin.
''Kami semua telah bersetuju untuk tidak menetapkan hari rondaan agar pergerakan SRS tidak dapat 'dihidu' oleh mana-mana pihak yang mempunyai niat tidak baik," tambah Norazman.
Selain itu, Norazman memberitahu, SRS berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa terutamanya polis bagi tujuan mencegah jenayah.

''Sekiranya berlaku kecemasan, anggota SRS akan memberi bantuan sebaik mungkin bagi membendung jenayah di kawasan ini, yang mana turut dipantau Balai Polis Senawang," kata Norazman. Menurut Norazman, beliau berharap agar lebih ramai penduduk di sekitar kawasan berkenaan tampil menyertai SRS pada masa akan datang.


'Keselamatan penduduk keutamaan kami'

''Kami sentiasa mengutamakan keselamatan penduduk. Kami benci jenayah dan ancaman gejala sosial." Ini adalah ketegasan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika ditanya misi mereka dalam menjalankan tugas dalam pasukan Kawasan Rukun Terangga (KRT) ini.

Pengerusi Biro Keselamatan KRT Taman Tuanku Ja'afar Fasa 3 Zon A di sini, Oslan Abdullah, semua anggota perlu bersepakat, bersemangat dan tidak gentar hadapi penjenayah kerana ia juga mampu menyakinkan penduduk. ''Adalah menjadi tanggungjawab kami bersama dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin sekali gus membanteras gejala sosial dan jenayah di kawasan ini.

Menurutnya, waktu rondaan dimulakan pada pukul 12 tengah malam dan berakhir pukul 5.00 pagi, ''Setiap anggota SRS akan meronda di sekeliling kawasan bagi setiap syif rondaan," ujarnya. Tambah beliau, semua anggota yang menjalankan rondaan diperlengkapkan dengan peralatan keperluan asas bagi tujuan melancarkan tugas rondaan.
''Jabatan Perpaduan Negara (JPN) telah menyediakan peralatan seperti vest, topi, cota dan lampu suluh," kata Mukhtar.

Sementara itu, menurut seorang anggota SRS di taman berkenaan, Jamaluddin Ibrahim, 53, berkata, beliau yakin menerusi SRS, perpaduan dan keamanan kawasan setempat dapat dipelihara selain berupaya mendidik aspek disiplin dan jati diri di kalangan anggotanya.
''Skim ini merupakan platform yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan penduduk selain menyemat nilai-nilai positif di kalangan anggotanya," ujar Jamaluddin.

No comments:

Post a Comment